Linda (bukan nama sebenar) sudah tidak tahan lagi!
Sepanjang tempoh perkahwinannya dengan Salleh (bukan nama sebenar), dia
sentiasa hidup dalam ketakutan. Salleh seorang yang panas baran, suka memaki
hamun, memukul dan menyepaknya. Linda selalu menjadi mangsa keganasan Salleh
walaupun hanya kesalahan kecil yang dia lakukan. Gaji yang diperolehinya habis
diambil oleh Salleh. Salleh memperlakukannya tak ubah seperti hamba abdi. Bila
dia mahukan Linda melayan kehendak batinnya, tidak kira lah suka atau tidak, Linda terpaksa menurut kehendaknya. Linda
pernah dimasukkan ke hospital kerana jahitan di vaginanya terbuka kerana Salleh
memaksanya melakukan hubungan kelamin ketika dia baru seminggu melahirkan anak.
Pernah juga satu ketika setelah dibelasah teruk, Salleh memaksanya melakukan
hubungan intim. Dek kerana takut, Linda terpaksa menurut
kehendak rakus Salleh itu. Kejam! ketika itu Linda rasakan dia seperti dirogol
oleh suami sendiri!
Apa yang dialami Linda (bukan nama sebenar) adalah contoh
kes keganasan rumahtangga yang banyak berlaku dalam masyarakat di Malaysia. Kes-kes
keganasan rumahtangga bukanlah sesuatu yang baru di dalam masyarakat kita. Ia
merupakan satu bentuk jenayah yang terjadi di dalam keluarga. Kebiasaannya
mangsa keganasan adalah wanita dan kanak-kanak. Walaupun tidak dinafikan ada
juga mangsanya terdiri dari lelaki, namun bilangannya tidak sebanyak mangsa
yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.
Kita pernah dikejutkan dengan berita seorang isteri yang
mati dibelasah oleh suaminya. Menurut Kosmo!19
Mei 2013, [1]mangsa
Nur Hidayah Abd. Ghani dikatakan ingin menuntut cerai dari suaminya setelah
berumahtangga selama 11 tahun kerana tidak tahan dengan sikap suaminya yang
panas baran dan kaki pukul. Suspek yang berang dengan tindakan isterinya itu
bertindak memukul mangsa sehingga mati.
Selain kes di atas, pada 6
Januari 2013, Kosmo![2]
melaporkan seorang isteri di dalam pantang selepas bersalin di Kangar terpaksa
dirawat di hospital akibat dibelasah teruk oleh suaminya menggunakan kerusi,
lesung batu, bingkai gambar dan pisau, kerana suami beliau mengesyakinya
curang. Di Kota Baharu, akbar Berita Harian[3] melaporkan seorang isteri
dimasukkan ke hospital mengalami 40 peratus melecur akibat dibakar oleh
suaminya kerana mengesyaki isterinya berlaku curang. Satu lagi kes yang
dilaporkan oleh Berita Harian[4] seorang wanita dibelasah
di dalam lif oleh suaminya. Kejadian itu berlaku di dalam lif hospital swasta
di Bukit Mertajam. Sebenarnya banyak lagi kes-kes penderaan yang dilakukan oleh
suami yang dilaporkan.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun memberitahu, dalam tempoh berkenaan iaitu
dari 2000 hingga 2012, sebanyak 42,499 kes keganasan rumah tangga dilaporkan
berlaku di seluruh negara.[5]
Keganasan rumahtangga bukanlah masalah peribadi atau
masalah keluarga, ia adalah satu bentuk jenayah dibawah Akta Keganasan
Rumahtangga 1994 (Akta 521). Keganasan rumahtangga ditakrifkan seperti
perlakuan mana-mana perbuatan tersebut:
• Secara bersengaja atau dengan
disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan
dan kecederaan fizikal.
• Menyebabkan kecederaan fizikal kepada
mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang sepatutnya diketahui akan
mengakibatkan kecederaan fizikal.
• Memaksa mangsa dengan paksaan atau
ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan berbentuk seksual
ataupun selainnya yang mangsa itu berhak tidak melakukannya.
• Mengurung atau menahan mangsa tanpa
kerelaan mangsa.
• Melakukan khianat atau kemusnahan
atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari
bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa
itu.
Keganasan rumahtangga bukan sahaja melibatkan fizikal
tetapi juga mental dan emosi. Keganasan dari segi mental seperti kata-kata
makian untuk merendah-rendahkan martabat isteri contohnya seperti bodoh, sial
dan sebagainya. Juga termasuk kata-kata ancaman seperti ugutan bunuh bagi
menakut-nakutkan mangsa.
Keganasan seksual juga merupakan satu bentuk keganasan
rumahtangga. Keganasan seksual didefinisikan sebagai
dipaksa secara fizikal melakukan seks, melakukan hubungan seks dalam ketakutan
terhadap apa yang bakal dilakukan pasangan dan patuh melakukan sesuatu yang
seksual yang memalukan atau menjatuhkan maruah. Namun keganasan seksual atau
rogol di dalam perkahwinan (marital rape) masih dipertikaikan kewujudannya.
Menurut Menurut presiden Kelab Taat Suami, Fauziah Ariffin, tidak wujud rogol
di dalam perkahwinan di dalam perkahwinan kerana perkahwinan itu telah
menghalalkan hubungan intim antara suami isteri. Malah isteri perlu melayan
suami seperti layanan pelacur kelas pertama![6]
Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali
Ke-71 yang bersidang pada 22 - 24 November 2005 telah membincangkan tentang
Hukum Suami Yang Melakukan Hubungan Seksual Secara Paksaan. Muzakarah telah
memutuskan bahawa di dalam Islam hubungan di antara lelaki dan wanita adalah
dihalalkan setelah melalui akad Ijab dan Qabul yang sah.
Oleh itu Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa tiada
istilah rogol atau melanggar hak asasi manusia dalam sebuah perkahwinan yang
sah dan keganasan rumahtangga yang berlaku adalah lebih bersifat dharar yang
boleh diambil tindakan melalui peruntukan undang-undang sedia ada. (sumber dari laman sesawang e-Fatwa)[7]
Di bawah Seksyen
375A Kanun Keseksaan, seorang suami yang cuba mendapatkan seks secara paksa
daripada isterinya boleh dihukum penjara untuk tempoh sehingga lima tahun jika
sabit kesalahan.
Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia (Suhakam) pada tahun 2004 juga berpendapat perbuatan merogol
isteri adalah satu kesalahan di bawah Perkara 16(1)(c) Konvensyen Menghapuskan
Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita PBB.
Hubungan seks suami isteri suatu yang halal di sisi
agama, namun jika melibatkan unsur keganasan ia tetap menjadi satu kesalahan di
sisi undang-undang dan agama. Melakukan hubungan seksual secara paksaan tanpa
kerelaan pasangan dan mengugut akan mencederakan secara fizikal dan juga ugutan
yang boleh menggangu mental dan emosi pasangan adalah bertentangan dengan
prinsip yang digariskan oleh Islam.
Di manakah
ketenangan dan kasih sayang yang ditekankan di dalam al-Quran tentang kenikmatan
hubungan suami isteri jika terdapat unsur keganasan? Antara ayat al-Quran yang
menyentuh tentang hubungan suami isteri ialah:
”Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya
dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki),
isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup
mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih
sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang
berfikir.” Surah Ar-Rum 30:21
Rasulullah SAW pernah menyebut yang bermaksud, “Tergamakkah
seseorang kamu memukul isteri sepertimana memukul seorang hamba abdi, kemudian
dia memeluknya pula, tidakkah dia (suami) merasa malu?” (Hadis riwayat
Ibnu Saad)
Bisik-bisik:
Kesimpulannya gejala keganasan rumahtangga bukan lah sesuatu yang patut berlaku
dalam sesebuah perkahwinan. Tidak kira terhadap suami, isteri atau pun
anak-anak. Hubungan suami isteri mestilah berlandaskan kepada kasih sayang
antara satu sama lain, hormat menghormati barulah kedua-dua pasangan merasakan
kenikmatan alam berumahtangga.
[1] http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
[2] http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm
[3] http://www.beritahariann.net/2014/03/suami-bakar-isteri-kerana-cemburu.html
[4] http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/Keslelakibelasahisteri_Wanitamahudakwasuami/Article
[5] http://news.abnxcess.com/bm/2013/11/42499-kes-keganasan-rumah-tangga-direkod-dari-2000-2012/
[6] http://www.malaysiakini.com/news/204644
[7] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-suami-yang-melakukan-hubungan-seksual-secara-paksaan
0 comments:
Post a Comment